Perkawinan dapat diibaratkan seperti sebuah kapal yang belayar
di tengah samudera kehidupan untuk menuju ke sebuah destinasi yang abadi
iaitu kematian. Memang, jarang sekali kematian dikaitkan dengan
perkahwinan tetapi itulah yang sering kita harapkan daripada pelbagai
ucapan dan ungkapan iaitu semoga perkahwinan itu berakhir hanya dengan
kematian dan bukannya perceraian atau terburai di tengah jalan.
Kita
selalu mengucapkan kepada pasangan pengantin semoga berbahagia ke akhir
hayat atau semoga kekal perkahwinan mereka sehingga ke anak cucu.
Maksudnya semoga perkahwinan kalian itu kekal sehingga mati. Jika
begitulah kehendaknya maka bagaimanakah seharusnya kita perlu bersedia
dan bersiap diri sebelum menuju ke alam rumahtangga dan menjadi seorang
suami kepada seorang wanita dan bapa kepada anak yang akan dilahirkan ?
Ramai
lelaki tidak berfikir panjang dan bersedia bersungguh-sungguh untuk
bernikah sebaliknya membiarkan diri mereka dikuasai oleh nafsu dan
kehendak yang meluap-luap untuk segera menikmati keseronokan alam
rumahtangga dan menjalani kehidupan baru sebagai suami isteri.
Perbuatan ini selalu membawa penyesalan dan penderitaan yang
berpanjangan baik kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Membina
rumah dari kayu dan papan pun boleh membawa bahaya dan musibah jika
ianya tidak kukuh, kurang persediaan dan salah perancangan inikan pula
jika membina sebuah kehidupan yang menampung pelbagai nyawa, hati dan
perasaan tanpa persediaan, kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi.
Bukan
sahaja bahaya, bahkan derita, sengsara dan juga iman kerap kali menjadi
mangsa dan dikorbankan oleh nafsu dan hasutan syaitan yang gemar
mempermainkan pasangan-pasangan muda sehingga terjadi perceraian atau
pergaduhan tanpa henti dan kehidupan masing-masing penuh dengan duka
serta masa depan yang suram.
Perkahwinan ialah antara ibadah
yang paling disukai oleh iblis dan syaitan untuk dirosakkan kerana
kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit bahkan mampu menjadi
krisis yang besar dan mengundang pelbagai dosa sampingan yang lain
seperti permusuhan, perebutan hak, fitnah dan sebagainya.
Imam
Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir ra yang
menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda
yang bermaksud :“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas
lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya untuk menghasut manusia
melakukan kejahatan. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya
dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia.
Seorang daripada mereka datang dan
berkata, ‘Aku telah melakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis pun menjawab :
‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”Nabi sallallahualaihi
wasallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan
berkata, “Aku telah mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan
mereka melainkan dalam keadaan aku telah berhasil memisahkan seorang
suami dan isterinya.’’ Lalu iblis pun memanggilnya agar dia dekat dengan
Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau
lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim)
Perkahwinan
adalah amat berkait rapat dengan aqidah seperti baju dengan jarum.
Walaupun baju adalah sejenis pakaian dan diperbuat daripada kain
manakala jarum pula adalah besi yang berasal daripada logam namun
hubungkait antara keduanya amat sinonim kerana tanpa jarum maka baju itu
tidak akan dapat dijahit sama sekali.
Begitulah aqidah dan perkawinan.
Aqidah
ialah ikatan antara seorang hamba dengan tuhannya dan syaitan pasti
akan melonggarkan ikatan tersebut dan berusaha merungkaikannya. Di sisi
orang yang beriman, perkahwinan akan menjadi alat untuk mengukuhkan
ikatan tersebut apabila hubungan suami isteri, kasih sayang dan hubungan
kekeluargaan yang terbina dapat menjadi nikmat dan kekuatan kepada diri
masing-masing di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Namun
bagi mereka yang lemah imannya maka perkahwinan akan menjadi alat
kesukaan syaitan yang dipermainkan untuk menyesatkan manusia. Waktu itu,
suami isteri, anak-anak akan bertukar menjadi fitnah dan penyebab
kerosakkan dan pemutus hubungan dengan tuhannya.
Berapa
ramai pasangan yang bergaduh dan bercerai kemudian menjadi berputus asa
terhadap rahmat Allah dan semakin jauh daripadaNya ? Berapa ramai pula
alim ulama dan pendakwah yang mengabaikan perjuangan kerana masalah
rumahtangga dan isu kekeluargaan yang menimpa dirinya ? Itulah fitnah
yang perlu diawasi oleh orang yang beriman.
Oleh yang
demikian, persediaan sebelum perkahwinan adalah amat mustahak dimiliki
oleh setiap pasangan khususnya bakal-bakal suami dan lelaki yang akan
menjadi ketua keluarga dan pemimpin dalam kehidupan isteri dan
anak-anaknya.
Al-Quran dan As-sunnah telah
memberitahu kita tentang pelbagai persediaan yang perlu dilakukan oleh
para pemuda sebelum melangkah masuk ke alam perkahwinan. Di antara semua
senarai persediaan yang banyak itu terdapat 10 persediaan yang paling
penting untuk diperhatikan dan diusahakan oleh anak-anak muda sebelum
menyahut gelaran sebagai seorang suami.
1. Memiliki aqidah yang sahih
Aqidah
yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang
hamba dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama
melalui pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi
asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh seorang
muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain.
Firman
Allah SWT : “Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan
wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki
yang mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik,
walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah
mengajak kamu ke syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah :
221)
Sebelum bernikah dan mendirikan rumahtangga maka
hendaklah seseorang anak muda atau lelaki itu berusaha membersihkan
aqidahnya dari sebarang kesalahan dan kesilapan dan berusaha
memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah SWT menurut ajaran
Al-Quran dan As-sunnah.
Buah dari aqidah yang benar
ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada syirik dan
kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang
pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari
kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2. Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Perkahwinan
ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup
seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi
pasangan dan hidup bersama secara halal. Perkahwinan tidak akan
mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk sebaliknya
perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara seseorang itu
menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah salallahu alaihi wasalam bersabda :
“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas
menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah
dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan
barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan
diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka
hijrahnya itu ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat
Muslim)
Seperti kereta ia adalah
kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita mahu tetapi kitalah
yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya. Kereta itu tidak boleh
bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana jika kita tidak
memandunya atau tidak mengetahui arah tuju yang harus diambil.
Perkahwinan ialah seperti kereta yang tidak akan bergerak ke mana-mana
tanpa mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.
Maka
adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya
menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan
perkahwinan dan keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum
melangsungkan pernikahan hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan
tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan ini agar ianya dapat
membantu kita memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang
dimahukan.
3.Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kekuatan
jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh
seseorang yang dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat
menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa
yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum
melangkah ke alam perkahwinan ialah seperti kesabaran dan kawalan diri
dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Kita
perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang
tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah
bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam
mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal
mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan
menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan
pelanggaran hukum Allah SWT.
Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak
boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang
kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis hasan riwayat
Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi) Adalah haram menikahi seorang wanita
dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap dirinya atau dalam
keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi keperluannya
sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa, akal
dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam.
Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum
berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri
mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan
menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.
4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Tidak
ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut
hanya akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi
kandungan kitab Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga,
lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah
SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim : 6)
Adalah
menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan
untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca
kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah
salallahualaihiwassalam.
Sekurang-kurangnya dia mampu
menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam
keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau
kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan
mengambil pelajaran daripadanya.
Juga dia mampu
untuk membaca hadith-hadith rasulullah salallahualaihiwassalam dan boleh
mencari rujukan dan pelajaran dari hadith-hadith tersebut walaupun
dengan bantuan kitab-kitab terjemahan dan buku-buku hadith yang ringkas
seperti hadith 40 karya Imam Nawawi atau Riyadhus Solihin bagi
mengajarkan ahli keluarganya kehidupan menurut sunnah rasulullah
salallahualaihiwassalam.
5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Seorang
lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib
mengetahui perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk
menunaikan ibadah kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain
sebelum dirinya layak untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga.
Hal
ini amat penting kerana tanpa mengetahui apa yang halal dan haram,
bagaimana dia akan mampu untuk membimbing isterinya dan menunaikan
kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah ?
Hubungan
suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci,
cara solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut
Islam perlu diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya
ke alam perkahwinan.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud : “Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang
mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala
yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang
dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka".
(Al-A'raf : 157)
Apa yang perlu diketahui oleh
seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum
halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini
tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud
dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan
pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu
situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan
mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh
Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan
mencari petunjuk.
6. Mempunyai kesihatan yang baik
Kesihatan
yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat
dan kelebihan kepada orang yang beriman. Islam amat mementingkan
penjagaan makan, kesihatan diri seperti kebersihan dan kecergasan badan.
Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadith yang menyebut sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud:
"Orang mukmin
yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin
yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim) Persediaan kesihatan sebelum
bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit berjangkit, virus dan
kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh memudharatkan pihak isteri dan
keluarga yang akan dibina.
Selain
daripada itu hendaklah seorang lelaki muslim menjaga kesihatannya
seperti bersenam, menjaga pemakanan agar dirinya tetap sihat dan segar
untuk pernikahan dan tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya
selepas bernikah.
Ada orang yang tidak menjaga
kesihatannya sehingga mendapat penyakit berbahaya dan menyusahkan
seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini
akan menganggu hubungan suami isteri dan menjadi beban dalam perkahwinan
apabila ianya tidak dijaga dan diselia dengan baik. Kesihatan adalah
rezeki dan anugerah daripada Allah SWT tetapi hendaklah dicapai dengan
usaha dan disiplin diri dalam menjaga makan dan minum serta rajin
bersenam dan memelihara kebersihan diri.
7. Mempunyai pengetahuan tentang seks dan mampu melakukannya dengan betul
Hubungan
seks ialah salah satu di antara tujuan penting perkahwinan iaitu untuk
memuaskan fitrah dan nafsu di jalan yang halal. Oleh yang demikian
mana-mana pasangan yang hendak mendirikan pernikahan perlulah mengetahui
ilmu asas dan persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara
halal dan baik serta bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.
Sebagai
seorang lelaki muslim, dia perlu bersedia untuk memenuhi keperluan
fitrah dirinya dengan cara yang betul dan bersedia untuk memenuhi
keperluan isterinya pula dengan cara yang baik dan berkesan. Persediaan
itu termasuk mengetahui biologi dan fitrah wanita seperti kitaran haid,
penyakit-penyakit kelamin seperti masalah keputihan, isu hubungan badan
seperti ransangan dan membangkitkan rasa ghairah sebelum jimak agar
tidak wujud kesakitan kepada pihak isteri dan mampu menjadikan hubungan
seks sebagai nikmat dan kegembiraan bukan masalah dan kesedihan.
Syeikhul
Islam, Ibn Taimiyyah ra menyebutkan bahawa hendaklah seorang suami itu
melakukan hubungan seksual dengan isterinya menurut cara yang mampu
memenuhi keperluan isterinya selama ianya tidak membawa mudharat kepada
fizikalnya.
Dalam hal ini para lelaki Muslim
hendaklah bertanyakan kepada orang tua atau mereka yang arif tentang
petua dan panduan yang boleh membantu mereka melayari perkahwinan dan
memberi kepuasan kepada pihak isteri.
Dari ‘Ummul Mu’minin
‘Aisyah ra berkata: Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda :
“Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya,
dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya.” (Riwayat
tirmidzi)
Keperluan seksual lelaki dan perempuan
adalah berbeza serta cara masing-masing mencapai nikmat dan keseronokan
juga adalah tidak sama maka hendaklah pihak lelaki dan bakal suami
mempelajari dan menguasai pengetahuan ini agar dapat memberikan layanan
yang terbaik kepada isteri masing-masing.
8. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal
Termasuk
diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak
suami atau lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan
memenuhi keperluan asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal
yang selamat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud
: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut
kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan
(hati) mereka.” (At-Talaq : 6)
Tidak disyaratkan untuk memiliki
rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ianya mampu melindungi
keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan perlindungan dari
hujan dan panas serta tidak memudharatkannya untuk menetap di dalamnya.
Oleh yang demikian maka para lelaki Muslim dan
bakal suami hendaklah memiliki pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk
membiayai sara hidup dan kehidupan isterinya bersama keluarga sebelum
mendirikan pernikahan dengan cara bekerja atau berniaga.
Hal
ini kerana Islam mementingkan persediaan dan pekerjaan
bersungguh-sungguh bukan hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan
atau sedekah tanpa usaha gigih yang bercanggah dengan sikap Islam.
Firman
Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan
siang untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (An-naba :
10-11)
Diriwayatkan dari Zuba'ir bin Al Aawam dari
Nabi SAW yang bersabda dengan bermaksud: "Sekiranya salah seorang
daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu,
kemudian dia memikul kayu tersebut untuk ke pasar dan menjualnya demi
menjaga kehormatannya, maka nescaya hal yang demikian itu adalah lebih
baik baginya daripada perbuatan meminta-minta kepada orang lain, baik
dia diberi atau pun ditolak." (Hadith riwayat Bukhari)
9. Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga
Islam
menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan
yang ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita.
Sebelum bernikah, seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan
walinya yang bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah
menikah maka tugas untuk melindungi dan menjaga keselamatan dirinya,
agamanya dan memelihara dirinya daripada bahaya dan fitnah adalah
terletak di atas bahu suaminya.
Daripada Abdullah ibn
Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda
: “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadith sahih
riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian hendaklah bakal
suami dan lelaki muslim yang akan bernikah bersedia menyiapkan diri
dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta persediaan yang
perlu untuk melindungi isterinya daripada bahaya dan gangguan manusia
dan syaitan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka
matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela
dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid,
dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam)
matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana
mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati
syahid.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Di
dalam hadith di atas menyebutkan bahawa mempertahankan keluarga termasuk
di antara penyebab kepada mati syahid sebagai menunjukkan bahawa ianya
adalah kewajipan dan tugas yang besar di sisi agama. Untuk melaksanakan
tugas mempertahankan keluarga seperti yang disarankan oleh hadith di
atas maka hendaklah lelaki Muslim atau bakal suami itu memiliki kekuatan
dan persediaan.
Kekuatan di sini bukan sahaja
bermaksud kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan kebijaksanaan
serta kemampuan baik dari sudut kewangan, kepandaian atau memiliki
hubungan ramai dengan pihak yang mampu menghulurkan bantuan untuk
membantu melindungi isteri dan keluarganya daripada sebarang bahaya dan
fitnah.
10. Memiliki kemahiran asas dalam hidup
Rumahtangga
ialah seperti kenderaan yang tidak berguna jika kita tidak tahu
memandunya atau tidak tahu ke mana mahu dituju dengannya. Oleh yang
demikian adalah penting bagi seorang pemandu yang mahu memandu
keluarganya agar tahu dengan selok-belok kehidupan serta mempunyai
kemahiran yang asas dalam pelbagai pengetahuan hidup seperti komunikasi,
pertukangan, memperbaiki perkakasan rumah dan elektrik, menyelia
kenderaan dan automotif atau mampu mengendalikan kecemasan dan rawatan
cemas apabila diperlukan.
Hidup ini adalah misteri
dan penuh dengan ujian dan dugaan. Kita haruslah mempersiapkan diri
dengan pelbagai kemahiran yang boleh membantu kita di dalam mendepani
cabaran kehidupan apabila tibanya saat-saat yang memerlukan. Malang
tidak pernah berbau seperti kata orang maka tidak rugi bahkan menjadi
kewajipan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran asas
dalam hidup yang dapat menjadi bekalan dalam memimpin keluarga dan
rumahtangga.
Baginda rasulullah
salallahualaihiwassalam sendiri amat mengalakkan umatnya belajar
menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada hari ini
kemahiran yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling, motivasi
dan kemahiran pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan menyelia
kenderaan jika rosak di tengah jalan.
Antara
kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran
mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk
para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan.
Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak
dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula
boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti
pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga
apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.
Sumber
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar